Friday, May 1, 2009

KASIH DAN RINDU

Salam perjuangan…
Aku baru saja pulang dari seremban. Tujuanku pergi ke seremban adalah untuk berjumpa dengan adik-adik usrahku yang telah hampir sebulan tidak berjumpa. Aku amat merindui mereka. Kami berkumpul dan berusrah di suatu tempat yang sungguh indah, memberi ketenangan di jiwaku. Usrah bermula lebih kurang jam 3.30 petang. Usrah bermula agak lewat kerana menunggu adik-adikku yang duk jauh dari kawasan seremban. Ada yang tinggal di batu kikir,ada yang tinggal di kajang dan sebagainya. Sungguh besar pengorbanan adik-adikku ini.

Usrah bermula dengan kehadiran yang agak memuaskan. 9 orang muslimin dan 6 orang muslimat. Selepas membuka majlis, aku memulakan usrah dengan memberi sedikit tazkirah khas buat diriku dan adik-adikku. Aku mengingatkan diriku dan adik-adikku tentang kandungan sebuah hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Suhain Ar-Rumi berkaitan hakikat perjuangan Islam .

Antara kandungan hadith ini adalah seperti berikut:
1) Bahawa Islam seperti kita fahamkan itu, merupakan suatu perjuangan yang sambung-menyambung dan tali menali dari segi perjuangan yang pernah diperjuangkan oleh para anbiya' dan mursalin, bermula dari perjuangan Nabi Allah Adam a.s sampailah kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW yang disambung semula secara terus-menerus oleh para sahabat, tabi'in dan orang-orang yang datang selepas mereka hingga ke hari ini dan hari yang akan datang.

2) Perjuangan ini sering bermuwajahah dengan golongan yang berkuasa di dalam masyarakat terutamanya para pemerintah yang tidak berdasarkan kepada Islam dan sekaligus menjadi penghalang kepada kerja-kerja Islam. Hal ini boleh dilihat dengan jelas, bila kita cuba mengingati perjuangan Nabi Ibrahim a.s yang ditentang oleh Namrud, Nabi Musa a.s ditentang oleh Firaun dan lain-lain. Bukan sahaja ia menjadi penghalang tetapi juga berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan dasar pemerintahannya. Hatta walaupun para pemimpin yang ada itu pergi, namun mereka tetap mahu melihat bahawa dasar pemerintahannya itu terus wujud dan kekal.

3) Pertentangan antara pejuang Islam dengan pihak yang berkuasa di dalam sesuatu masyarakat itu bukan disebabkan oleh hal-hal yang berkaitan dengan peribadi, tetapi merupakan pertembungan aqidah dan dasar. Hal ini jelas, bila kita mengingati kembali perhubungan di antara Nabi Musa a.s dan Firaun, sebelum menjadi Nabi dan selepas ia diutus menjadi Rasul, hubungan di antara Nabi Muhammad SAW dengan para pemimpin masyarakat Quraisy.

Sebenarnya banyak lagi kandungan hadith ni. Tapi kebetulan ini saja yang aku ingat. Selepas itu, aku serahkan segalanya kepada adik-adikku untuk membuat perbincangan dan resolusi sebelum mereka melangkah ke alam kampus tak lama lagi.

Akhirnya mereka sebulat suara membuat dan membentangkan beberapa resolusi kepada aku. Tidak perlu ku ceritakan di sini apa resolusi yang telah mereka sepakati. Namun yang penting, aku berpuas hati dengan prestasi dan perkembangan mereka.

Selesai sahaja resolusi,kami pun menutup majlis ilmu dan ukhuwwah kami dengan bacaan tasbih kaffarah dan Surah Al-‘Asr.

YA ALLAH, KAU tetapkanlah hati-hati kami dalam jalan yang KAU redhoi..
YA ALLAH, alangkah indahnya ukhuwwah Islamiyyah ini..

ADIK-ADIKKU, abang amat menyayangi antum antunna semua..

No comments:

Post a Comment

KENANGAN TERINDAH

KENANGAN TERINDAH