Thursday, April 30, 2009

AKUKAH GOLONGAN MUNAFIK ITU ??

Salam Perjuangan…

Petang ni terasa seperti nak menulis sesuatu dalam blog yang ala kadar ni. Seperti yang pernah ku katakan dahulu, blog ini hanya sekadar wasilah untuk aku meluahkan rasa kebosanan dalam jiwaku sepanjang waktu cuti semester ni.

Seperti biasa selepas solat zohor, aku membaca beberapa ayat dari Al-Quran. Kali ini aku membaca 4 maqra’ dari Surah An-Nisa’. Pada mukasurat terakhir juzu’ 5 ini, aku terasa seperti ada sesuatu yang menusuk kalbu ku.

Suka lah kiranya untuk aku berkongsi beberapa sebab yang menyebabkan  hatiku terusik. Dalam ayat 145 surah ini, ALLAH berfirman bahawa :

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”

Ayat ini cukup menyedarkan ku bahawasanya seksaan untuk golongan munafik atau dalam bahasa yang lebih sopan disebut ‘hipokrit’ lebih dahsyat daripada seksaan untuk golongan kafir. Moga-moga aku tidak termasuk dalam golongan munafik ini. Na’uzubillahi min zalik.

Pada mukasurat ini juga disebutkan beberapa sifat atau perangai golongan munafik ini. Dalam ayat 142 surah ini, ALLAH berfirman yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

Sebagai kesimpulannya, sama-sama lah kita muhasabah diri kita sama ada kita ini berada dalam golongan yang bertaqwa ataupun beriman ataupun hanya Islam pada nama atupun yang paling dahsyat sekali kita ini tergolong dalam golongan yang ALLAH tempatkan di tingkat terbawah dalam neraka.

Moga-moga kita sentiasa mendapat rahmat dan lindungan daripada ALLAH TAALA di dunia dan di akhirat sana. Ameeen

                                .: HIDUP INI INDAH JIKA MENDAPAT REDHA ALLAH :.   

No comments:

Post a Comment

KENANGAN TERINDAH

KENANGAN TERINDAH